Jet Mesir Hancur Pengganas Bunuh 235 Jemaah Masjid

KAHERAH – Tentera udara Mesir memusnahkan beberapa kenderaan digunakan pengganas dalam serangan ke atas sebuah masjid di wilayah Utara Sinai, yang bunuh semua jemaah di dalamnya.

“Selain itu, jet penggempur tentera udara kerajaan turut menyasarkan beberapa lokasi simpananan senjata dan peluru pengganas,” kata jurucakap Tamer al-Refaay dalam kenyataan dilaporkan agensi berita China, Xinhua.

Serbuan tentera itu dilakukan hanya beberapa jam selepas serangan pengganas berlaku ketika masjid yang terletak di perkampungan kecil Utara Sinai itu penuh sesak dengan orang ramai yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.

Sekurang-kurangnya 235 jemaah disahkan terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam insiden lewat petang Jumaat. Ini merupakan serangan pengganas pertama yang menyasarkan terus masjid dalam sejarah moden Mesir.

Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. Namun sejak 2014, pasukan keselamatan Mesir telah menentang kumpulan setia kepada militan Daesh, yang mendakwa dalang sebahagian besar kes keganasan di Mesir.

Dalam ucapan di televisyen pada malam Jumaat, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata “serangan pengganas amat berdosa dan kejam itu akan hanya menguatkan lagi semangat tekad untuk bersatu menentang pengganasan.”

Sambil berikrar beliau secara penuh optimis berkata, “kami akan segera bertindak balas dengan keras terhadap kumpulan pelampau dan pengganas yang kecil ini!”

Presiden turut menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin dunia yang memberikan salam takziah terhadap serangan tragik itu dan menyuarakan sokongan mereka kepada usaha Mesir membanteras pengganasan.

Laporan media di Mesir menyatakan angka kematian meningkat kepada 235 orang manakala lebih 100 orang cedera dalam serangan di bandar Bir al-Abed itu dan ia dianggap antara tragedi paling berdarah di negara Arab Islam itu.

Para saksi kejadian menyatakan, penyerang-penyerang bersenjata yang menaiki kenderaan lasak, bertindak mengepung masjid yang penuh sesak dengan jemaah dan kemudian memasang bom di luar Masjid Al Rawdah itu.

Penyerang-penyerang kemudian melanggar jemaah yang keluar cuba menyelamatkan diri. Kenderaan-kenderaan para jemaah masjid pula dibakar oleh pengganas untuk mengepung jalan masuk ke kawasan rumah Allah tersebut.

Presiden Abdel Fattah kemudian segera mengisytiharkan tempoh perkabungan rasmi di seluruh negara selama tiga hari dan mengadakan pertemuan dengan para menteri keselamatannya untuk membincangkan tindakan susulan.

Ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit pula mengutuk serangan tersebut yang disebutnya sebagai jenayah menakutkan dan dilakukan oleh mereka fanatik mengikut ideologi pengganas ekstremis.

PM Amat Terkejut Serangan Pengganas Di Mesir

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau amat terkejut dengan serangan keganasan terhadap sebuah masjid di Mesir pada Jumaat, yang mengorbankan 235 jemaah.

“Amat terkejut dengan serangan ke atas jemaah yang tidak bersalah di Masjid al-Rawda, Mesir. Ingatan dan doa saya bersama-sama mangsa dan anggota keluarga tersayang mereka,” kata Najib dalam catatan di Twitter beliau hari ini.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 235 jemaah terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam serangan pengganas di masjid terletak di utara wilayah Sinai itu, yang menyasarkan jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

Menurut laporan media tempatan (seperti dipetik oleh Al-Jazeera), penyerang telah meletupkan bahan letupan sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu terhadap jemaah.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini, lapor media.

Sumber : mynewshub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *